Thursday, 2 August 2012

Salah Faham Mengenai Insurans Oleh : Azha Syazri, AFPM

Terbaca artikel ini di Internet, lalu saya siarkan utk manfaat bersama, 
anda baca dan nilailah sendiri yer! =) 

<<Penulis artikel dibawah adalah seorg Financial Planner drp MAA Life 
Insurance dan bekas penulis tetap di salah sebuah majalah terkenal 
di Malaysia. 
 
--------------------------------------------------------------------------

Talk About : Salah Faham Mengenai Insurans Oleh : Azha Syazri, AFPM 

Apa itu Life Insurans sebenarnya?

Jual Beli Nyawa? Jual Beli Pampasan? Skim Buat Untung Dalam Sekelip
Mata? Mengapa Salah Faham terjadi?

Salah faham terjadi kerana pemahaman yang salah mengenai konsep asas
insurans. Sejak awal tahun 1970an, industri insurans sudah mula berkembang
di Malaysia, tetapi kebanyakan teks dan ilmu mengenai insurans hanya boleh
didapati di dalam versi bahasa Inggeris. Bagi orang Melayu pada masa itu,
insurans merupakan satu 'benda baru' untuk mereka dan mungkin kerana
penguasaan bahasa Inggeris yang lemah, ini telah membuatkan mereka membuat
pelbagai tanggapan salah mengenai Life Insurans dengan mengaitkan Life
Insurans sebagai satu jual-beli nyawa atau jual-beli pampasan.

Sejauh manakah salah faham ini berlaku di kalangan masyarakat kita?

Pada pemerhatian saya, salah faham ini sudah mencapai di tahap kritikal
sekarang kerana wujudnya persaingan tidak sihat dari ejen-ejen insurans
tertentu, yang menyalah-gunakan fatwa dan hukum agama, bagi menjual
insurans mereka untuk kepentingan mereka sendiri. Perkara sebegini bukan
sahaja memberi maklumat yang tidak tepat mengenai Life Insurans, malahan
membuatkan masyarakat kita memandang Life Insurans sebagai satu benda
negatif, haram dan dikeji.

Adakah benar Life Insurans itu Insurans Nyawa?

Anda tentu sedia maklum bahawa semua insurans perlu dibuat mengikut
nilainya. Adakah insurans menilai nyawa seseorang? Tentu tidak! Insurans
tidak pernah menilai atau meletak harga ke atas nyawa seseorang. Malahan,
anda tidak perlu kehilangan nyawa untuk menerima pampasan insurans. Dalam
realiti, pampasan insurans tetap berbayar samada kerana cacat keseluruhan,
penyakit kritikal, kemalangan dan rawatan hospital, tanpa anda kehilangan
nyawa. Jadi, tidak mungkin ia satu Insurans 'Nyawa'.

Jika seseorang itu memahami konsep asas insurans, dia sepatutnya tahu
bahawa perkataan 'Life' memberi banyak makna lain selain nyawa, iaitu
makna yang lebih tepat lagi - KEHIDUPAN. Contoh: apabila seseorang berkata
"How's Life?", dia bukan maksudkan bagaimana nyawa anda, sebaliknya
bertanya khabar bagaimana kehidupan anda?.

Jadi, tidak hairanlah, apabila tafsiran dibuat pada pemahaman yang salah,
masyarakat mula mempersoal samada nyawa seseorang itu boleh dijual-beli
atau diletakkan harga sehingga menyebabkan keluarnya Fatwa yang kurang
tepat mengenai insurans nyawa.  

Adakah benar Life Insurans itu satu Muamalah Jual-Beli Pampasan?

Ini satu lagi salah faham mengenai insurans di mana ramai yang menyangka
ia sebagai satu urusan jual-beli pampasan. Tidak hairanlah, wujudnya satu
lagi fatwa pada tahun 1979 yang mengharamkan Insurans Nyawa kerana ia
ditakrifkan sebagai satu muamalah yang 'fasid' (rosak/tidak sah) yang
tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam dari segi aqadnya kerana
mengandungi unsur-unsur gharar (tidak ketentuan), maisir (judi) dan riba.

Tetapi adakah benar Life Insurans itu satu muamalah jual beli pampasan?

Saya ambil contoh situasi benar yang berlaku apabila seseorang itu membuat
pinjaman rumah di bank. Apabila bank meminta anda memastikan bahawa
pinjaman anda tetap berbayar walaupun anda mati atau cacat kekal, adakah
bank menyuruh anda membeli pampasan dari pihak tertentu? Cuba anda renung
perkara ini betul-betul, samada bank menyuruh anda membeli pampasan atau
tidak?

Tentu tidak bukan? Apa yang bank mahukan hanyalah satu JAMINAN
PERLINDUNGAN atau JAMINAN KEWANGAN di mana, jika anda mati atau cacat
kekal, pinjaman rumah anda itu tadi akan dapat dibayar oleh penjamin anda.
Siapa yang boleh menjadi penjamin untuk satu jumlah pinjaman yang besar
seperti itu? Kawan-kawan? Adik beradik? Ibu bapa? Pinjaman peribadi RM
10,000 pun semua orang takut nak jamin, inikan pula pinjaman rumah yang
bernilai ratusan ribu! Jadi ternyata, jaminan seperti ini, tidak mampu
dipegang jika diserahkan kepada seseorang.

Dalam industri kewangan, jaminan perlindungan tersebut ada disediakan oleh
sebuah institusi kewangan yang dipanggil syarikat insurans dan tugas
mereka adalah untuk menyediakan jaminan perlindungan ke atas risiko-risiko
asli tertentu sahaja. Syarikat Insurans tidak pernah menjual pampasan,
sebaliknya hanyalah memberi jaminan perlindungan.

Jadi, apakah Barang atau Subject Matter di dalam aqad Life Insurans?

Saya berpendapat, barang atau subject matter di dalam aqad Life Insurans
adalah JAMINAN PERLINDUNGAN (yang diberi dalam bentuk JAMINAN KEWANGAN)
dan POLISI INSURANS kerana hanya dengan membeli insurans sahaja, anda akan
menerima jaminan perlindungan dan polisi insurans. Malahan istilah
‘Takaful’ sendiri membawa maksud kepada “jamin-menjamin”, bukan
menjual/mengutip pampasan. Buat sumbangan pada anak yatim, anda tidak akan
dapat polisi insurans. Begitu juga kalau buat sumbangan kepada masjid
mahupun surau atau mana-mana badan kebajikan, anda tidak akan dapat polisi
insurans. Belum pernah dalam sejarah industri kewangan, sesiapa yang
membuat sumbangan kepada badan kebajikan, akan diberi polisi insurans.
Jaminan perlindungan ini wujud dan boleh dibuktikan dengan sokongan polisi
insurans. Berbalik kepada isu jaminan kepada bank. Pihak bank tentunya
hanya akan percaya, anda sudah ada jaminan perlindungan apabila anda sudah
ada polisi insurans. Kalau tidak, pasti pinjaman anda tidak akan
diluluskan. Dan polisi insurans ini, anda hanya akan dapat kalau anda
menyertai skim insurans yang dikelolakan syarikat insurans, dimana
fungsinya adalah untuk melindungi kesemua peserta-peserta di dalam satu
kumpulan yang besar.

Adakah patut Jaminan Perlindungan ini diberi secara percuma?

Mungkin anda tertanya-tanya, memandangkan syarikat insurans hanya memberi
jaminan perlindungan (dalam bentuk jaminan kewangan ke atas kerugian
kewangan yang dialami oleh peserta), mengapa mereka perlu caj peserta
untuk jaminan tersebut? Bukankah sepatutnya tidak ada caj kerana tidak
terima pampasan?

Cuma anda lihat apa terjadi kepada kakitangan kerajaan yang memberi
jaminan sebagai penjamin kepada orang yang membuat pinjaman peribadi,
khususnya di Bank Rakyat. Apa telah terjadi kepada mereka sekarang ini?
Ramai yang terpaksa menanggung hutang yang mereka tidak buat, kerana si
peminjam larikan diri, tanpa membayar semula pinjaman mereka. Inilah
gara-gara memberi jaminan perlindungan/jaminan kewangan secara percuma. Ia
mengundang seribu satu masalah dan bermacam jenis penipuan. Jika anda
lihat sekarang, berapa ramai kakitangan kerajaan yang sanggup menjamin
pinjaman peribadi orang lain, walaupun kawan baik sendiri? Hampir tiada,
betul tak? Lebih-lebih lagi nak jamin seseorang yang kita tidak kenal.
Lagilah mustahil nak jumpa penjamin.

Sebab itulah, setiap peserta yang menyertai skim Life insurans perlu dicaj
mengikut risiko kehidupan yang mereka bawa. Tidak ada syarikat insurans
yang sanggup beri jaminan perlindungan begitu sahaja, tanpa apa-apa caj
insurans. Semuanya perlu ditapis terlebih dahulu sebelum penerimaan dibuat
oleh syarikat insurans. Ini kerana Life insurans tidak boleh dibeli dengan
wang ringgit. Ia hanya boleh dibeli dengan kesihatan. Jika kesihatan anda
tidak mengizinkan, duit sejuta ringgit pun tidak akan laku di syarikat
insurans.

Di Malaysia, jumlah caj insurans ini dikawal-selia oleh Bank Negara
Malaysia, satu-satunya badan kerajaan yang ditugaskan untuk mengawal-selia
industri kewangan. Dan struktur caj insurans ini dibuat mengikut standard
dan piawaian antarabangsa serta diawasi oleh Akta Insurans 1996.

Apa fungsi Life Insurans sebenarnya?

Ramai orang yang menyangka insurans ini satu skim buat untung. Kalau tidak
untung, maka dia pasti akan rugi dan jatuhlah hukum haram. Saya sendiri
tidak faham dari mana dia belajar semua ini? 

Kalau anda kaji konsep asas insurans, jaminan perlindungan yang diberikan
ini, bukan ke atas nyawa seseorang kerana Life Insurans tidak pernah
menilai atau meletak harga ke atas nyawa seseorang. Jaminan perlindungan
hanya dibuat berdasarkan kerugian kewangan (financial loss) dan fungsinya
bukan untuk membuat keuntungan, sebaliknya untuk menutup kerugian kewangan
(indemnity) yang dialami akibat risiko-risiko (musibah) asli tertentu.
Ada orang yang mengatakan, insurans konvensional ini umpama nikah cara
sivil, tidak ikut hukum syariah kerana mengikut undang-undang sivil.  Apa
komen anda?

Pertama, insurans tidak sama dengan nikah kahwin. Ini anda perlu faham dan
tidak boleh pandai-pandai buat perumpamaan kalau tidak cukup ilmu
insurans.

Kedua, Akta Insurans & Akta Takaful, kedua-duanya adalah
undang-undang sivil. Akta Takaful mahupun syarikat Takaful tidak pernah di
bawah kawalan Majlis Fatwa Kebangsaan mahupun pihak Jabatan Agama Islam.
Semua syarikat insurans dan ejen-ejennya, baik konvensional atau Takaful,
dikawal-selia oleh Bank Negara Malaysia.

Ketiga, hanya kerana ia satu undang-undang sivil, tidak bermakna sesuatu
itu akan pasti menjadi haram. Sebaliknya, saya percaya, jika ia dibuat
mengikut prinsip syariah, walaupun ia adalah undang-undang sivil, maka ia
tetap sah di dalam Islam. Sebagai contoh: Undang-undang lalu-lintas
Malaysia, takkan anda tidak mahu bayar saman, hanya kerana anda orang
Islam yang tidak percaya kepada undang-undang sivil?

Satu contoh paling jelas, adalah sijil kahwin saya. Saya bernikah di
Golden Mosque, Quiapo, Manila dengan berwali hakim dan 2 saksi petugas
masjid. Sijil nikah yang dikeluarkan oleh kerajaan Filipina adalah satu
sijil perkahwinan sivil. Tetapi, sekembalinya saya ke Malaysia, pihak JAWI
mengesahkan perkahwinan saya sah di sisi syarak kerana semuanya dibuat
mengikut hukum Islam dan mereka mengeluarkan surat nikah JAWI untuk
memudahkan urusan imigresen isteri saya. Tambahan pula, kebenaran dari
pihak JAWI sudah pun saya dapatkan dulu sebelum berangkat ke Manila. Jadi
sudah jelas, sijil nikah sivil saya tetap sah dan diterima-pakai oleh
pihak JAWI.

Bagaimana pula dengan persoalan berkenaan unsur-unsur gharar (tidak
ketentuan)?

Apabila 'subject matter' di dalam Life Insurans ini ditakrifkan sebagai
jaminan perlindungan, maka segala persoalan gharar, riba dan maisir (judi)
akan terjawab.

Dengan adanya polisi insurans, segala kandungan mengenai Life Insurans
sudah pun dinyatakan dengan jelas, baik dari segi tempoh jaminan, jumlah
pampasan yang akan diberi di dalam tempoh jaminan, caj yang dikenakan ke
atas jaminan yang diberikan dan bagaimana pampasan boleh dituntut, apabila
anda memenuhi syarat-syarat perjanjian amanah di dalam polisi insurans
anda. Semua ini dibuat dengan jelas, mengikut standard piawaian Bank
Negara Malaysia dan Akta Insurans 1996.

Jaminan perlindungan dan polisi insurans boleh dibuktikan, baik di
mahkamah sivil, mahkamah syariah mahupun di dalam industri perbankan.
Mahkamah syariah juga mengesahkan pampasan insurans konvensional adalah
suatu harta pusaka yang perlu difaraidkan di kalangan pewaris si mati. Ini
bermakna, mereka mengiktiraf bahawa jaminan perlindungan itu wujud dan
pampasan tersebut perlu dibahagi-bahagikan mengikut sistem pusaka Islam.
Adakah benar riba' wujud di dalam Life Insurans?

Jika anda lihat polisi insurans lama (traditional life policy), akan ada
unsur riba apabila seseorang itu mengeluarkan simpanan insuransnya sebelum
tiba tempoh matang. Ini dinamakan policy loan (pinjaman dari polisi) dan
biasanya dikenakan interest/faedah yang boleh dijatuhkan hukum riba'.

TETAPI, dengan wujudnya plan insurans baru berbentuk Investment-Linked
Insurance, maka isu riba sudah tidak wujud lagi, lebih-lebih lagi dengan
adanya plan simpanan berprinsip syariah, kerana setiap pengeluaran
simpanan insurans dianggap penjualan semula unit saham amanah anda kepada
syarikat insurans, dan bukannya satu pinjaman. Maka isu riba tidak pernah
wujud dalam plan Insurans Investment-linked sekarang!

Begitu juga mengenai isu timbangan yang tidak sama (Riba' Al-Fadl) di mana
premium insurans murah, sedangkan pampasannya berpuluh kali-ganda? Riba
akan wujud jika anda menyangka Life Insurans itu satu proses jual-beli
pampasan. Cuba anda lihat perniagaan kelab sukan/gym. Adakah anda beli
mesin exercise atau beli ‘kesihatan’? Tentunya anda bukan beli mesin
exercise atau ‘kesihatan’ bukan? Apa yang anda beli/bayar adalah untuk
keahliannya. Macam mana nak tahu wujudnya keahlian itu? Ada - sila rujuk
kad keahlian

Sama juga dengan Life Insurans, anda bukan beli pampasan, sebaliknya anda
beli jaminan perlindungan. Kalau nak tahu samada anda ada jaminan
perlindungan atau tidak, sila rujuk polisi insurans. Polisi insurans ini
umpama kad keahlian kelab gym tadi. Dan kalau anda lihat, keahlian gym
tadi, bayar cuma RM 50 sebulan sahaja, tapi dapat guna mesin exercise yang
bernilai ratusan ribu ringgit. Ditambah lagi dengan kemudahan mandi sauna
dan trainer aerobik, mana mungkin anda dapat semua itu dengan hanya RM 50
sahaja? Sebab kelab gym tersebut hanya jual keahlian, bukan jual trainer
aerobik, tempat sauna mahupun mesin exercise! Dan mereka buat perniagaan
ini dalam satu kumpulan ahli yang besar, bukan seorang dua. Jadi keahlian
dapat diberikan dengan harga yang murah dan hasil kutipan semua ahli,
kelab dapat menyediakan semua kemudahan ini.

Sama juga dengan Life Insurans, sebab itulah hanya dengan RM 100 sebulan,
anda sudah boleh dapat jaminan perlindungan RM 100,000 sebab syarikat
insurans hanya beri jaminan perlindungan sahaja, bukan jual-beli pampasan.
Apa gunanya jaminan perlindungan ini kalau pampasan tak dapat? Inilah
masalah orang yang tidak faham konsep asas insurans. Jaminan perlindungan
ini boleh anda gunakan untuk menyokong permohonan pinjaman anda di bank.
Saya pasti setiap bank akan minta jaminan perlindungan sebelum mereka
meluluskan pinjaman rumah yang beratus ribu. Bank bukan suruh anda beli
pampasan, bank suruh anda sediakan jaminan perlindungan sahaja iaitu pihak
yang sanggup bayar sejumlah wang bagi pihak anda, apabila anda ditimpa
musibah!

Jaminan perlindungan ini juga boleh digunakan oleh suami untuk meyakinkan
isterinya, yang dia seorang lelaki yang bertanggung-jawab, terutamanya
kepada keluarganya. Saya pasti, semua suami, kalau boleh, mahukan
ketenangan fikiran dalam hal kebajikan keluarganya. Dia tentu nak pastikan
keluarganya dapat meneruskan kehidupan mereka seperti biasa, walaupun dia
sudah tiada atau tidak berupaya. Tidak ada seorang ayah pun yang sanggup
melihat anak-anaknya menderita menghadapi keperitan hidup ini. Hanya
dengan Life Insuranslah dia dapat menjamin, keluarganya akan menerima
pendapatan berterusan, walaupun dia sudah tiada atau tidak berupaya.
Dengan Life insurans-lah, si suami dan si ayah tadi dapat berikan jaminan
kepada isteri dan anak-anaknya.

Jadi, saya berpendapat, sudah tentu isu Riba' Al-Fadl ini sepatutnya tidak
wujud jika seseorang itu benar-benar memahami konsep asas insurans. Ini
kerana, jika benarlah isu timbangan tidak sama itu adalah riba, maka semua
insurans am juga patut diharamkan. Malahan semua jenis insurans perlu
diharamkan kerana timbangan tidak sama. Bayar insurans kereta murah,
perlindungan berpuluh ribu. Insurans kebakaran bayar RM 100 setahun
sahaja, perlindungan sampai RM 100,000. Bukankah sudah jelas, tidak sama
timbangan? Mengapa pula insurans am boleh dihalalkan oleh Majlis Fatwa
Kebangsaan sedangkan ia jelas satu unsur Riba’ sama seperti hujah agama
ke atas Life Insurans? Sebab itulah saya berpendapat, fatwa dan hukum
sedia-ada mengenai Life Insurans tidak tepat kerana, bukan sahaja fatwa
dan hukum agama dibuat dengan hujah-hujah yang tidak konsisten (insurans
nyawa haram kerana isu timbangan tidak sama, sebaliknya insurans am
dihalalkan walaupun isu timbangannya tetap tidak sama) malahan, fatwa dan
hukum agama ke atas Life Insurans
ini telah dibuat atas pemahaman yang kurang tepat dan pengetahuan yang
sangat lemah dalam bidang insurans, terutamanya terdapat banyak perubahan
yang sudah berlaku di dalam industri insurans sekarang.

Isu timbulnya penangguhan dalam penyerahan 'barang' (Riba An-Nasi'ah),
sebenarnya juga tidak wujud lagi. Ini kerana, apabila seseorang itu
membayar premium insuransnya, jaminan perlindungan itu sudah wujud
serta-merta semasa aqad dibuat dan syarikat insurans sudah pun menanggung
liabiliti ke atas peserta itu apabila wang diserahkan. Jika dia mati atau
cacat kekal kerana kemalangan pada keesokkan harinya, pampasan insurans
tetap akan berbayar. Ini boleh anda semak dengan mana-mana syarikat
insurans, baik konvensional mahupun Takaful.

Bagaimana pula dengan unsur Maisir (Judi) di dalam kontrak insurans?
 
Memang tidak dinafikan ada orang yang menganggap membeli insurans ini satu
perjudian ke atas sesuatu yang belum pasti berlaku. Apa yang belum pasti
berlaku sebenarnya? Belum pasti terima pampasan? Tidak hairanlah anda
merasa insurans itu seperti judi, kerana anda menyangka insurans itu satu
jual-beli pampasan. Tetapi jika anda faham konsep asas insurans, anda
tentu akan sedar, bahawa anda sudah pun menerima apa yang anda sudah
bayar, iaitu - Jaminan Perlindungan!

Sebab itulah, saya berpendapat, unsur Maisir (Judi) sebenarnya tidak wujud
kerana : -

1.   Peserta membayar premium kecil kerana dia hanya membeli jaminan
perlindungan dan bukannya membeli pampasan. Dan wang yang diberi oleh
syarikat insurans juga lebih berbentuk sumbangan atau pampasan yang
datangnya dari hasil sumbangan semua ahli peserta di dalam satu kumpulan
besar. Kalau tidak silap saya, jika wang yang diberi itu dianggap sebagai
satu sumbangan/pampasan, maka ia tidak mengapa dan dibolehkan di dalam
Islam.

2.   Wang premium yang dibayar sebenarnya tidak hangus kerana jaminan
perlindungan sudah pun diberikan dari awal-awal lagi apabila peserta
menyerahkan duitnya. Peserta sudah pun mendapat 'barang' yang dibayarnya.
Tambahan pula, sepanjang tempoh jaminan, peserta bukan sahaja mendapat
layanan dari syarikat insurans, malahan dari ejen insurans itu sendiri.
Jadi segala-galanya jelas bahawa peserta sudah pun mendapat apa yang
dibayarnya.

3.   Syarikat insurans tidak rugi hanya kerana membayar tuntutan pampasan
berpuluh-kali ganda yang melebihi premium yang diterima. Ini kerana
insurans dibuat di dalam satu kumpulan yang besar dan peratusan peserta
yang membuat tuntutan pampasan hanyalah peratusan kecil dari kumpulan
besar tersebut. Tambahan pula, tuntutan pampasan yang dibayar, bukannya
datang dari wang syarikat, sebaliknya dari sumbangan (caj insurans) setiap
peserta yang diterima di dalam satu kumpulan besar tersebut. Contoh:
Tuntutan berjuta-juta ringgit setiap tahun pun, syarikat insurans masih
lagi untung kerana operasi perniagaan mereka dibuat secara menyeluruh di
dalam satu kumpulan besar, bukan terhad kepada satu-satu urusan jual-beli.
Ini boleh dilihat dari laporan tahunan mana-mana syarikat insurans.

Mengapa Insurans itu bukan judi? Boleh jelaskan? 

Banyak bezanya. Judi itu mewujudkan risiko sedangkan insurans itu menutup
risiko sedia-ada. Judi itu untuk menyediakan keuntungan kepada mereka yang
kena, tetapi insurans hanyalah menutup kerugian kewangan (indemnity)
kepada peserta yang ditimpa musibah, bukan mencipta keuntungan ke atas
nyawa. 

Orang yang kalah berjudi akan kehilangan segala duitnya, tetapi premium
dana syariah diberi semula berserta dividen lagi apabila tiba tempoh
matang. Judi itu membayar duit kepada mereka yang bernasib baik, sedangkan
indemnity dalam insurans diberikan kepada peserta yang tidak bernasib baik
(ditimpa musibah tertentu). 

Dalam judi, sesiapa pun layak berjudi, tetapi dalam insurans, hanya mereka
yang mempunyai kepentingan diinsuranskan sahaja boleh memohon. Judi dibuat
dengan duit, insurans hanya boleh dibuat dengan kesihatan. Jika kesihatan
anda tidak mengizinkan, duit sejuta pun tak laku! Jadi, adakah anda
nampak perbezaan judi dan insurans itu?

Ada orang kata, sistem konvensional hanya mementingkan untung semata-mata?
Tidak seperti operator Takaful yang lebih mementingkan kebajikan. Betul ke
tuduhan ini?

Pertama sekali, tidak ada satu syarikat insurans pun didaftarkan sebagai
satu badan kebajikan. Semuanya didaftarkan sebagai satu perniagaan, tidak
kira ia syarikat insurans konvensional mahupun Takaful. En Azman Ismail
(Hijrah Strategic Advisory Group) dalam artikelnya di laman web LIAM juga
ada menyatakan di dalam Sidang Kemuncak Takaful di Bahrain 1997 bahawa
perjalanan syarikat-syarikat Takaful di Malaysia lebih kepada bentuk
perniagaan, dan bukannya dilakukan dalam bentuk koperasi/kerjasama seperti
yang disarankan oleh ulama-ulama seluruh dunia. Dan saya berpendapat, bagi
semua perniagaan, mencari untung itu adalah satu matlamat yang tidak ada
salahnya. Jika anda berniaga, mahukah anda rugi sentiasa? Tentu mahu
untung juga bukan?
 Kedua, jangan mudah menuduh syarikat konvensional hanya pentingkan untung
semata-mata kerana bukti-bukti yang saya ada menunjukkan, syarikat
insurans konvensional banyak memainkan peranan penting dalam hal kebajikan
masyarakat, tidak kira mereka ini peserta skim insurans mereka atau tidak.
Sebagai contoh, Kad Perubatan Sihat Malaysia. MAA masih lagi mengekalkan
produk insurans perubatan ini demi menjaga kebajikan masyarakat, walaupun
mereka tahu dan mereka sedar, insurans perubatan melibatkan risiko paling
tinggi dan banyak mengalami kerugian selama ini. Bagi setiap RM 1 premium
yang dikutip, MAA terpaksa membayar semula RM 1.60 untuk menanggung bil
perubatan hospital yang peserta-peserta masuk. Produk ini masih lagi
dijual dengan jayanya, walaupun MAA tahu mereka tidak banyak untung kerana
tidak dapat menaikkan harga kad sesuka hati (harga kad perubatan
dikawal-selia oleh Program Kesihatan Kebangsaan) dan produk ini masih lagi
diteruskan walaupun MAA ada mengalami kerugian di dalam sektor ini.
Malahan syarikat insurans konvensional lain juga mengalami kerugian yang
serupa, akibat sikap hospital swasta yang gemar ‘over-charge’ pesakit
mereka (dengan melakukan ujian & prosedur yang tidak diperlukan) apabila
mereka mengetahui pesakit tersebut dilindungi insurans.

Contoh-contoh lain, MAA sendiri memiliki 8 pusat rawatan dialysis buah
pinggang di seluruh Malaysia, yang bertujuan untuk membantu mereka yang
kurang berkemampuan mendapatkan rawatan. Selain itu, MAA juga membantu
Budimas, sebuah yayasan kebajikan Tuanku Permaisuri Agong, yang
menyediakan pelbagai kemudahan seperti pusat rawatan dialysis buah
pinggang dan sebagainya, untuk mereka yang tidak berkemampuan dan kurang
upaya. Banyak juga aktiviti kebajikan yang MAA taja sebagai penaja utama.
Sudah menjadi lumrah masyarakat, perkara baik yang mereka buat jarang
dilihat oleh masyarakat. Yang nampak hanya benda buruk kerana adanya pihak
tertentu yang suka 'bawa mulut'! 
 Bagaimana pula dengan Kenyataan yang mengatakan - "Hanya 4 kaunter sahaja
yang mendapat pengiktirafan Lulusan Syariah dalam kategori Finance di BSKL
sedangkan Kaunter syarikat insurans konvensional lain tidak termasuk dalam
senarai syariah compliance ini". Apa komen anda?

Ya, dalam senarai kaunter BSKL memang MAA dan syarikat insurans
konvensional lain tidak termasuk di dalam senarai kaunter diluluskan
syariah. Ini disebabkan adanya produk-produk insurans konvensional lain
yang masih mempunyai riba (interest) on policy loan. 

Tetapi saham BSKL amat berbeza dengan Dana Pelaburan Syariah di MAA,
mahupun di syarikat insurans konvensional lain. Ini kerana, bagi saham
BSKL, jika anda beli saham MAA berbillion ringgit dan pegang lebih 51%
dalam jumlah saham, anda sudah jadi pemilik baru MAA. 

Sebaliknya, bagi dana-dana Islamik Investment-Linked adalah satu dana
amanah saham yang tidak bercampur dengan dana pelaburan konvensional,
mahupun dana syarikat di BSKL. Dan Dana-Dana Islamik ini diiktiraf sebagai
Lulusan Syariah oleh Penasihat Syariah yang terlantik seperti syarikat
Hijrah Strategic Advisory Group, yang mengiktiraf Dana Islamik MAA adalah
halal dan bersih kerana mereka sudah pun meng-audit perjalanan pelaburan
tersebut. 

Apa yang anda perlu fahami adalah, jika anda beli berjuta ringgit dana
islamik MAA, anda tidak akan jadi pemilik MAA, kerana ia hanyalah dana
amanah saham. Sama seperti anda letak berjuta ringgit di dalam ASB, anda
tidak mungkin menjadi pemilik PNB. Nampak perbezaannya? 

Semua pelanggan insurans MAA yang memilih plan syariah boleh melihat wang
simpanan insurans mereka dilaburkan mengikut prinsip-prinsip syariah dan
di kaunter-kaunter lulusan syariah sahaja. 

Diharap penerangan saya ini membantu pemahaman anda dalam industri
kewangan di Malaysia...

No comments:

Post a Comment